LAMAN UTAMA
 
Pengumuman



     
  Pautan Click kepada Gaya Hidup Rendah Karbon Blog Presiden Our Facebook  
     

Selamat datang ke laman web Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

LETUPAN GAS PUTRA HEIGHTS: KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU MEMBENTUK PASUKAN PETUGAS KHAS (TASKFORCE) PENILAIAN RISIKO INFRASTRUKTUR UTILITI

SIARAN MEDIA
Tarikh: 07 APRIL 2025 (ISNIN)

LETUPAN GAS PUTRA HEIGHTS: KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU MEMBENTUK PASUKAN PETUGAS KHAS (TASKFORCE) PENILAIAN RISIKO INFRASTRUKTUR UTILITI

Insiden yang melibatkan infrastruktur utiliti mungkin tidak akan berakhir dengan insiden letupan gas Putra Heights jika langkah konkrit tidak dilaksanakan. Lubang benam bandar (urban sinkhole) di Masjid India yang melibatkan infrastruktur pembetungan, kerosakan yang melibatkan paip utama bekalan air yang pecah dan banyak lagi insiden bukan sahaja mengganggu perkhidmatan yang diberikan tetapi juga menyebabkan kemudaratan yang serius kepada orang ramai seperti yang kita lihat dalam insiden Putra Heights.

Banyak tanah Right of Way (ROW) diperkenalkan ketika negara kita meningkatkan perkhidmatan kepada orang ramai dan perniagaan. Selepas tempoh masa tertentu, lebih banyak pembangunan bergerak lebih dekat ke tapak ROW terutamanya di lokasi kekurangan tanah. Terdapat kes di mana pelebaran jalan menyebabkan paip-paip utiliti diletakkan di bawah aliran trafik yang aktif.

Sambil kita melangkah ke hadapan, kita perlu menilai semula dan mengenal pasti risiko yang berkaitan dan menggariskan langkah-langkah mitigasi yang sesuai untuk mengelakkan berlakunya insiden sebegini pada masa depan. Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) dan Centre for Water and Energy Sustainability (CWES) ingin menggesa Kerajaan Persekutuan membentuk Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Penilaian Risiko Infrastruktur Utiliti. Pasukan petugas peringkat persekutuan mesti disokong oleh pasukan petugas Peringkat Negeri juga.

Berikut adalah terma rujukan (TOR) yang AWER dan CWES ingin cadangkan:
(i)    Pemetaan ROW dan kawasan sambungan perkhidmatan utiliti yang telah diceroboh sama ada dengan kelulusan atau tanpa kelulusan;
(ii)    Mengenal pasti ROW dan kawasan sambungan perkhidmatan utiliti yang berdekatan kawasan kepadatan penduduk tinggi, kawasan aliran trafik tinggi, kawasan berisiko tinggi disebabkan lokasi faktor luaran, dan sebagainya;
(iii)    Mengenal pasti kaedah atau pendekatan teknologi yang boleh digunakan untuk mengurangkan risiko;
(iv)    Kategorikan risiko yang dikenal pasti pada skala keterukan (severity scale) berbanding kos mitigasi;
(v)    Kenal pasti pendekatan perundangan untuk mencegah atau meminimumkan pencerobohan ke ROW dan kawasan sambungan perkhidmatan utility;
(vi)    Mengguna pakai piawaian dan proses kelulusan yang ketat untuk pengaksesan oleh pihak ketiga ke ROW atau kawasan sambungan perkhidmatan utiliti bagi memasang paip atau pembangunan infrastruktur lain;
(vii)    Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) perlu memainkan peranan untuk menyemak risiko yang dikenal pasti dan mitigasi berkenaan serta menghantar laporan teknikal mengenainya kepada pasukan petugas khas ini;
(viii)    Gariskan libat urus dan penglibatan pihak berkepentingan dalam Pelan Tindak Balas Kecemasan (ERP) untuk meningkatkan kesedaran dan tindak balas pantas sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini;
(ix)    Menerbitkan penemuan dan pendekatan yang dicadangkan untuk pengetahuan umum dan maklum balas orang ramai.

Sementara kita masih dalam proses pemulihan daripada kemusnahan akibat letupan gas di Putra Heights, kita juga mesti bersiap sedia untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berulang. Justeru itu, AWER dan CWES menggesa Perdana Menteri, kementerian berkaitan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mempercepatkan pembentukan pasukan petugas khas ini sebagai langkah pencegahan segera untuk mengelak insiden sebegini daripada berulang.

Piarapakaran S.
Presiden
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)
&
Ketua Pegawai Eksekutif
Centre for Water and Energy Sustainability (CWES)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 
 
Disclaimer:
This portal and the Materials are provided "as is " and "as available", without warranty of any kind, implied, express or statutory. The association of Water and Energy Research Malaysia (AWER) shall not be liable for any loss of damage caused by the usage of any information or Materials obtained from this portal. Organisations of Agencies referred to in this web site shall not be construed as agents nor as institution recommended by Association of Water and Energy Research Malaysia (AWER).
Terma dan Syarat | Notis Hak Cipta | Hubungi Kami | Peta Laman Hakcipta © 2011-2026 AWER. Semua Hakcipta Terpelihara